Kisah sedih wanita yg ditinggalkan – ustazah doakan saya kuat ya…

SubhanAllah.. Sebuah keluarga yang tidak berputus asa, ini kali ke empat mereka datang ke Galeri Ustazah Asma’ Harun daripada Banting, Selangor. Dengan hajat untuk bertemu saya, barulah kali ini dizinkan Allah swt.

Dan mereka menunggu pula lebih kurang 2 jam dengan sabar, sementara menunggu saya selesai satu kuliyah online. Saat bertentang mata dengan si Ibu, hanya air mata dan senyum penuh bermakna. Dia hanya mengulangi perkataan terima kasih, dan menyatakan syukur akhirnya dapat bertemu.

Lalu saya terus mengajak ke ruang merakam kenangan, memandangkan masih ramai yang masih menunggu juga. Ketika sedang mengatur kedudukan ada seorang anak lelaki berumur 3 tahun menangis dan berbaring di atas karpet. Lalu saya bertanya, “anak siapakah ini?”

Lalu si ibu menjawab, “ini cucu saya ustazah, emaknya anak saya, dia telah ditinggalkan suaminya begitu sahaja dan bernikah lain, ketika itu cucu saya ni setahun lebih, sehingga hampir 2 tahun ni tak pernah pulang walau sekali, untuk lihat isteri atau anaknya..” ?

“Ustazah, cucu saya ni, walaupun dah hampir 2 tahun ayah dia tinggalkan, dan ketika itu dia baru berumur setahun lebih, bila bangun pagi dia akan sebut nak ayah, nak ayah.. dia masih ingat ayah dia.. Sebab tu kadang² dia buat perangai begini, kami tahu dia rindukan ayahnya, kerana memang dia manja dan rapat dengan ayahnya..”

Terus air mata saya mengalir, apatah lagi air mata si isteri yang ditinggalkan dan semua yang ada di situ juga turut menangis. Saya pujuk anak kecil dengan satu makanan kemudian berjaya mendudukkannya di riba, sungguh rasa simpati begitu dalam.

Lalu ibu kepada anak kecil berkata, “ustazah doakan saya kuat ya, saya tak tahu kenapa jadi begini, saya kesian pada anak saya, doakan saya mudah untuk pergi kerja ya, sebab anak saya ni tak nak lepaskan saya pergi kerja, kesian emak saya sebab dia akan memberontak..”

“Dik, kamu memang kuat, kerana itu ujian kamu juga hebat. Kamu amalkanlah selalu doa yang Nabi SAW ajarkan kepada Abu Salamah, kamu tahu tak doa tu?” Dia menggelengkan kepala, lalu saya mengajaknya untuk sama² menadah tangan dan saya membacakannya,

إِنَّا لِلَّهِ وَإِنَّا إِلَيْهِ رَاجِعُونَ اللهُمَّ أْجُرْنِي فِي مُصِيبَتِي، وَأَخْلِفْ لِي خَيْرًا مِنْهَا
“Kita milik Allah semata dan sesungguhnya hanya kepada-Nya semata kita kembali. Ya Allah berilah daku pahala/kebaikan dalam musibah yang menimpaku, dan gantikanlah buatku dengan sesuatu yang lebih baik.” (HR. Muslim)

“Dik, ingatlah, jika Allah terus buka hikmah di sebalik taqdirNya ini, tentu kita akan bersyukur dan berterima kasih kepada Allah swt. Kita tidak tahu sebenarnya Allah sedang melindungi kita daripada apa, dan apakah yang Allah nak berikan kepada kita atas ujianNya”

“Kamu kena kuat untuk pilih bahagia, bina kehidupan kamu sendiri, hargai anak, ibu ayah dan adik² yang selalu ada bersama ini. Mereka ini insan paling bererti dalam hidup kamu” Dia mengangguk² sambil mengucapkan terima kasih berulang². Mudahan sedikit sebanyak membantunya.. Allahu Allah.

Setelah itu, datang pula 2 orang adik kepada wanita ini, subhanAllah, keduanya adalah Hafizah AlQuran, terus saya memintanya untuk mendoakan saya menjadi ahli alQuran dan pimpin tangan saya di Akhirat kelak..?

Yang lebih tua mula bersuara, “Ustazah, kami nak ucapkan banyak² terima kasih kepada ustazah, kerana ceramah ustazah sebenarnya telah banyak mengubah emak kami, banyak sangat kekuatan yang emak kami dapat, kami syukur sangat bila tengok emak sentiasa positif, tak seperti dulu.. Beza sangat”
Saya tanya kenapa?

Si anak dengan air mata menjawab, “emak banyak diuji oleh ayah, dan selalu sebut pada kami, bahawa ustazah cakap begini, ustazah cakap begitu, dia sedaya upaya akan buat, emak pegang kata² ustazah, dan beberapa kali datang sini beli tudung jubah ustazah, emak kata nak pakai seperti ustazah, sebelum ini emak bukan begini..”

Saya juga turut rasa sebak dan mengucapkan terima kasih dengan sunguh² kerana sudi berkongsi kisah ini, kebetulan saya sendiri dalam fasa ujian dalam dakwah, terus saya mengatakan padanya.. “Dik, doakan ustazah terus kuat ya untuk menyampaikan, untuk berdakwah, ustazah juga lemah dan sentiasa diuji..

Perkongsian kamu ni menguatkan ustazah, supaya terus kuat untuk memberikan kekuatan kepada yang memerlukan, doakan ya dik”. Allahu Akbar.. Memang banyak kisah dan luahan begini sampai kepada saya, sungguh saya kerdil sahabat sekalian, sungguh saya sedar saya tiada daya dan upaya, semuanya datang daripadaNya.

Saya semata-mata perantaraan Allah swt sahaja. Semoga Allah jaga hati dan niat kita. Teruskan berjuang duhai wanita yang sedang teruji, sesungguhnya janji Allah itu benar, Syurga adalah bagi hambaNya yang Sabar.

Kredit; Ustazah Asma’ Harun

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*