Berbulan bertarung nyawa dlm inkubator, kembar comel yg hebat ni berjaya teruskan hidup

Lembaga Zakat Selangor

Skuad Saidina Umar (SSU) Zakat Selangor mengunjungi dua beradik kembar yang comel. Kisah perjalanan mereka berdua yang boleh menginspirasikan orang lain sangat menarik untuk kami kongsikan.

Kembar comel ini dilahirkan menerusi pembedahan kecemasan ketika usia kandungan 28 minggu. Pembedahan segera dibuat atas faktor untuk menyelamatkan nyawa mereka berdua serta nyawa ibu yang mengandungkan mereka. Komplikasi telah berlaku sejak awal kandungan di mana tumbesaran tidak seimbang dan berisiko tinggi.

Usia mereka hari ini genap 2 tahun. Yang berdiri adalah kakak, menggunakan bantuan oksigen sepenuhnya sehingga usia 1 tahun lebih akibat paru – parunya tidak mampu menerima oksigen biasa secara terus.

Susu pula perlu dimasukkan menerusi paip getah terus ke perutnya. Yang duduk di dalam kerusi pula adalah adik dan telah disahkan menghidap cerebral palsy kerana kecederaan saraf pada otaknya dan kini perlu di uruskan sepenuhnya.

Berbulan-bulan bertarung nyawa…

Dua anak kembar ini melalui situasi getir, di mana mereka bertarung nyawa bersama-sama, meneruskan nafas mereka di dalam inkubator bayi selama beberapa bulan serta bertahan untuk meneruskan perjalanan hidup mereka sebagai bayi kembar yang hebat.

Ayah kepada kembar ini bekerja sendiri dan berdepan situasi getir dalam menguruskan keluarga dan juga berusaha mencari pendapatan, ibu mereka pula bekerja sebagai guru KAFA di bawah Jabatan Agama Islam Selangor.

Zakat Selangor tampil membantu bagi kos perubatan dan rawatan bagi anak kembar hebat ini. Kini mereka memerlukan sokongan susu khas bagi membantu tumbesaran mereka. Pihak Hospital juga sentiasa bekerjasama dengan Zakat Selangor dalam memastikan keperluan anak kembar hebat ini terus dapat disantuni sebaiknya.

Inilah antara fungsi zakat. Ianya memberikan sinar buat kembar hebat ini untuk terus melangkah mengharungi cabaran kehidupan selepas ini. Marilah sama – sama kita doakan semoga Allah permudahkan semua urusan ayah dan ibu kembar hebat ini, dikurniakan kesihatan dan kesembuhan agar kembar hebat ini dapat hidup seperti anak – anak yang lain.

Kongsikan kisah ini sebagai tanda kita bersama mereka dan juga semoga dapat memberikan motivasi pada keluarga lain yang berdepan dengan ujian hidup dan kesihatan. Allah menguji kita dengan rahmatnya. “Bersama kami membantu mustahiq. Sedikit bagi anda, segalanya buat mereka”.

Kredit : ibnuhusain via Lembaga Zakat Selangor

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*