Pindah anjing: Penduduk bantah lokasi pilihan Ebit Lew

Tindakan pendakwah terkenal, Ebit Lew untuk memindahkan tempat penjagaan anjing dan kucing, Pak Mie Shelter ke Kampung Kubang Jelai, Pendang, mendapat bantahan penduduk. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Kemajuan Kampung (JPKK) terbabit, Md Daud Rusdi Hassan, 60, berkata perkara tersebut diketahuinya melalui laman sosial pendakwah terbabit.

“Saya cuba menghubungi beliau (Ebit Lew) hampir 20 kali tetapi tidak dijawab,” kata beliau dalam sidang media penyerahan memorandum bantahan di Pusat Khidmat Wakil Rakyat (PKWR) Tokai, semalam.

Beliau turut melahirkan rasa kesal kerana tiada sebarang rundingan bersama wakil penduduk kampung sebelum keputusan menjadikan gudang tersebut sebagai tempat alternatif pusat jagaan haiwan itu. Menurutnya lagi, lokasi pilihan Ebit Lew amat tidak sesuai memandangkan penduduk Kampung Kubang Jelai berbangsa Melayu dan beragama Islam.

“Tambahan pula belakang gudang itu terdapat sungai sebagai sumber saliran kira-kira 3,000 relung sawah padi dan Masjid Nur Salam berada hanya 100 meter sahaja dari lokasi itu. “Ini amat tidak sesuai dan menimbulkan keresahan penduduk di sini,” ujar beliau lagi.

Difahamkan Pak Mie Shelter di Jalan Tengku Bendahara, Alor Setar yang menjadi pusat jagaan haiwan hampir 700 ekor (anjing dan kucing) diarahkan berpindah ekoran lokasi terbabit terlibat dengan Projek Sistem Kumbahan Bersepadu Bandaraya Alor Setar.

Sementara itu ADUN Tokai, Dato’ Dr Mohd Hayati Othman, berkata, kerajaan negeri sebenarnya telah mengenalpasti lokasi perpindahan pusat jagaan haiwan itu namun belum dimuktamadkan lagi. “Lokasi yang dicadangkan oleh pihak kerajaan, jauh dari penempatan manusia dan tidak mengganggu keselamatan serta ketenteraman orang ramai,” jelasnya semalam.

Beliau berharap pihak Ebit Lew dapat mempertimbangkan keputusannya untuk menyewa gudang terbabit memandangkan situasinya tidak sesuai dan boleh mengundang masalah lain. “Kampung itu ada 700 keluarga, majoriti penduduk Melayu-Islam. Lagipun sungai di belakang gudang itu, menyalurkan air untuk kegunaan sawah padi. Tidak sesuai sangat-sangatlah. Masjid pun dekat. Tentulah mengganggu ketenteraman awam,” katanya lagi.

Justeru itu, beliau yang juga Exco Kesihatan dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) memohon agar pihak Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) memberi kelonggaran penangguhan berpindah kepada pemilik Pak Mie Shelter sehingga tempat yang sesuai untuknya dimuktamadkan. Beliau juga akan membawa hal tersebut seberapa segera ke pihak berkenaan untuk dibincangkan.

Sementara itu, satu laporan polis oleh penduduk Kampung Kubang Jelai telah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pendang pada 20 Februari lalu, ekoran perpindahan itu dijadualkan pada hari ini 22 Februari.

Dalam perkembangan lain, kerajaan lalu pernah mencadangkan lokasi baharu untuk pusat perlindungan itu di Kampung Bukit Pak Kiau, Pokok Sena, namun ia mendapat bantahan dari penduduk kampung dengan alasan yang sama.

Kredit; HDaily

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*