Korang sambut tahun baru mcm mn? Kami ada 20 trip lagi nak angkut pesakit C0VID-19

SUNGAI BULOH: Perkongsian seorang petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menerusi laman Twitternya mendapat perhatian sebahagian warga net pada malam tahun baharu 2021.

Ketika orang ramai menyambut tahun baharu dengan dentuman mercun dan bunga api, namun perkongsian frontliner berkenaan, walaupun ringkas tetapi membuka mata masyarakat akan realiti sebenar apa yang berlaku di Malaysia, bahkan di seluruh dunia.

Farihin Fattah, seorang Penolong Pegawai Perubatan (PPP) memuat naik ciapan beserta gambar-gambar ketika tugasannya ‘mengangkut’ individu-individu positif COVID-19, sambil secara santai mengingatkan orang ramai supaya tidak ambil mudah penyakit berjangkit berkenaan.

Dengan berpakaian lengkap Peralatan Perlindungan Diri (PPE), ciapan di Twitter Farihin juga secara tidak langsung menceritakan pelbagai kisah yang ramai tidak tahu di sebalik laporan harian kes COVID-19 oleh KKM.

“Korang kalau happy malam ni sekejap je, kalau sangkut laa Covid ni, 14 hari kena kurung kat Pusat Kusta tu.” Farihin Fattah, Frontliner

Menurut Farihin, malam tadi sahaja beliau bersama pemandu ambulans bernama Irsyad mempunyai lebih 20 tugasan untuk mengambil pesakit COVID-19 di kediaman masing-masing di serata Lembah Klang untuk dibawa ke hospital.

Kongsinya lagi, pesakit COVID-19 yang diambil oleh ambulans tidak boleh mengharap akan terus dimasukkan ke dalam wad memandangkan wad rawatan pesakit virus itu sentiasa penuh. Ciapan yang mengingatkan bahawa situasi di wad sentiasa penuh dan memerlukan pesakit menunggu giliran

Malah kebelakangan ini, bilangan pesakit baharu harian semakin tinggi berbanding mereka yang sembuh dan dibenarkan pulang. “Hari ini, hari terakhir bagi tahun 2020, Malaysia merekodkan kes harian baharu tertinggi sepanjang pandemik COVID-19 melanda negara kita iaitu sebanyak 2,525 kes.”

Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Kesihatan
“Hari ini (31 Disember) bilangan kes sembuh COVID-19 adalah sebanyak 1,481 kes.”

Kongsi Farihin lagi, warga net perlu tahu, andai mereka disahkan positif COVID-19 dan didatangi ambulans untuk dibawa ke hospital, mereka juga mungkin akan ditempatkan di Pusat Kawalan Kusta Negara, Hospital Sungai Buloh sehingga 14 hari, satu tempoh yang lama dan mungkin membosankan.

Ruang lama Pusat Kawalan Kusta Negara bertukar menjadi was pesakit COVID-19 sejak April 2020
Malah ada kes malam tadi menyaksikan ambulans yang membawa tiga beranak untuk dihantar ke Pusat Penyelarasan Perubatan Kecemasan (MECC) diarah berpatah balik ke rumah pesakit-pesakit berkenaan kerana pusat kuarantin yang penuh.

Selain bergambar ‘selfie’ dengan pakaian PPE-nya, Farihin juga ada memuat naik gambar-gambar ambulans yang sentiasa bersedia untuk mengambil pesakit tanpa mengira waktu.

“Perut lapar, nak kencing, semua ada. Isyak pun belum ni.” Farihin Fattah, Frontliner

Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, empat hari lalu berkata KKM mempertimbang untuk pesakit COVID-19 tahap satu dan dua menjalani kuarantin di rumah sekiranya keadaan memerlukan. Beliau bagaimanapun berkata, sekiranya ia dilaksanakan, terdapat kriteria yang perlu dipatuhi.

Jelas Noor Hisham ketika itu, KKM masih ada kapasiti dari segi katil tetapi berdepan isu logistik untuk memindahkan pesakit dari rumah ke hospital. Perkara itu katanya, berikutan peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Kredit; AlHijrah Online / Ardi Herman Mohd Mardzi

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*